Tuesday, February 19, 2013

Apa Tugasmu Masa Kini?

Bismillah.Sejuta kesyukuran di panjat kepada Ilahi atas RahmanNya dan RahimNya, kita dilimpahi dengan segala nikmat-nikmat yang tidak terhitung serta sentiasa dalam jagaanNya. Selawat dan salam ke atas junjungan besar kita, Nabi Muhammad s.a.w. 

Islam ada satu agama yang lengkap dan sempurna yang diturunkan atas muka bumi ini. Islam adalah cara hidup yang syumul serta unggul. Cara hidup bermaksud 24 jam gaya hidup kita dipengaruhi dan dibimbing oleh Islam bukan seperti agama-agama yang lain yang agamanya terhad dalam rumah ibadat masing-masing. Maka untunglah siapa yang berada di bawah naungan Islam. 

Islam yang dari dulu diperjuangan serta disebarkan kepada seluruh alam melalui pengorbanan serta jasa Rasulullah dan para sahabat serta orang-orang yang beriman selepasnya, yang tidak pernah kenal erti putus asa serta letih, akhirnya Islam itu sampai kepada kita pada zaman ini. Seharusnya kita semua perlu berterima kasih kepada mereka dan tidak melupakan jasa-jasa mereka yang memperjuangkan Islam, yang mana ujian serta halangan pada masa dahulu lebih perit berbanding sekarang untuk menjadi watak utama dalam penyebaran Islam ke serata alam. 

 Dan kitalah penggerak Islam pada masa ini serta menjadi wajib ke atas kita menyebarkan Islam kepada semua serta mengamalkan. Terpundaknya amanah ini di atas bahu kita semua tanpa ada yang terkecuali.

" Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya."

( Surah Al- Imran : 104 )

Maka apakah sumbangan kita terhadap Islam? Sedarkah diri ini adalah penggerak utama Islam pada masa kini? Perkara ini menjadi amanah kepada kita untuk menyebarkan Islam di mata masyarakat serta menegakkan apa yang betul serta membetulkan apa yang salah.
 
Oleh itu ada beberapa perkara yang utama yang perlu ada dalam diri untuk menjadi penggerak Islam pada masa kini  antaranya ialah

1.      Membaiki diri menjadi muslim yang sejati
Hendak atau tidak, semestinya kita membaiki diri kita supaya “on form” muslim. Ini supaya kita punyai tarbiyah islam yang kuat serta teguh dalam diri agar senang menjalankan kerja-kerja Islam. Mampukah seorang jahil menjawab soalan matematik jika tidak pernah belajar tambah tolak darah bahagi? Inilah bidalan yang sesuai untuk menggambarkannya. Namun, ini tidak bermaksud untuk tunggu kita seratus peratus mukmin untuk kita menjadi dai’e. Jika begini, siapa yang layak? Bukan merendahkan diri seorang muslim itu, tapi semua tahu, iman itu naik dan turun. 

Contoh dari sirah nabi adalah, semua sahabat akan terus menyumbangkan diri sendiri untuk Islam setelah memeluk Islam. Mereka tidak pula mengasingkan diri atas alasan amalan dan iman tidak cukup tinggi lagi. Seharusnya proses tarbiyah itu berjalan seiring serta berpanjangan dalam hidup kita. Kepentingan menjadi muslim yang sejati amatlah banyak dan merupakan langkah utama dalam menjadi seorang dai’e. Muslim sejati ibarat satu cawan yang penuh yang berisi air dan para mad’u ibarat cawan yang kosong. Jika cawan yang kosong, bagaimana mahu mengisi cawan lain yang kosong. Maka, peribadi muslim sejati amatlah penting dan menjadi tempat jatuh pandangan orang kepada seorang dai’e

2.      Mendekatkan diri dengan Jemaah Islam
Seorang muslim seharusnya bergerak secara berkumpulan kerana gerak kerja sebagai tiket individu amatlah susah dan payah tapi jika berkumpulan kita akan merasa senang dan kuat. Apa pentingnya jemaah Islam ini? Disini saya selitkan pepatah yang popular “Tiada Islam tanpa jemaah, tiada jemaah tanpa kepimpinan, tiada kepimpinan tanpa ketaatan.” Kata hikmah ini disandarkan kepada Saidina Umar al-Khattab walau terdapat sanad-sanad yang diragui, tapi ambillah yang baik pada bait ini. Maka disini ada 3 elemen iaitu jemaah, kepimpimnan dan ketaatan. Jemaah penting dalam membentuk peribadi muslim yang tersusun kerana wujudnya tarbiyah Islam yang tersendiri yang disusun oleh setiap Jemaah untuk setiap ahlinya sesuai dengan tuntutan Islam agar jati diri kuat untuk menjalan kerja-kerja Islam dan Jemaah. Gerak kerja dakwah juga lebih tersusun dengan wujudnya jemaah. Jemaah juga menjadi medan muhasabah kita semua, kerana terdapat orang-orang yang disekeliling sentiasa dengan kita yang boleh menegur serta membetulkan apa yang salah. 

Selepas wujudnya Jemaah, kepimpinan harus wujud dalam satu gerakan supaya gerakan mejadi tersusun dan mempunyai ketua yang mengemudi arah sesuatu gerakan seperti nakhoda yang menjadi ketua sesebuah kapal. Pemimpin amatlah penting agar jemaah itu mempunyai matlamat yang tetap dan kukuh. Bila wujudnya pemimpin, sturuktur organsasi amatlah perlu supaya gerak kerja menjadi tersusun dan licin. Seharusnya ada perancang dan pelaksanan, jadi tidak semua perlu berada di atas dan tidak semua perlu berada di bawah. Yang berada di atas tidaklah penting jika tiada dibawah, yang dibawah tidak terasing, jika tiada yang diatas. Kedua-dua golongan ini penting dalam menggerakan sesebuah jemaah. Oleh itu, ketaatan perlulah diberikan kepada pemimpin agar kita tidak lari dari tujuan jemaah itu sendiri.

Ihsan images.google.com


3.      Mempunyai strategi dakwah yang berjaya
Selepas diri terlibat dalam gerakan dakwah, maka strategi dakwah perlu dilakar supaya gerak kerja kita sebagai seorang pendakwah berjalan dan berjaya. Seorang dai’e perlu mempunyai cara dakwah yang tersusun agar matlamat dalam dakwah itu tercapai tanpa ada sebarang masalah. Sedangkan sekecil-kecil perkara seperti perlawanan chess perlu mempunyai strategi yang jitu, inikan sebesar-sebesar perkara iaitu menyebarkan dakwah islamiyyah. Setiap mad’u, lain cara dakwahnya seperti peribahasa lain padang, lain belalang. Maka seorang da’ie perlu “brainstorming” cara atau method dakwah agar sesuai dengan sasaran dakwah kita. Dari lipatan sejarah nabi, kita boleh lihat bagaimana Islam itu boleh tersebar meluas dalam tengah-tengah jahiliah di mekah itu. 

Dakwah disebarkan secara rahsia dulu agar orang boleh terima dan tidak terkejut kerana selama ini di belengungi oleh jahiliah. Selepas itu baru disebarkan secara terang-terang. Lihatlah strategi dakwah nabi yang berjaya ini, membolehkan Islam itu tersebar dan diterima. Tambahan lagi, dakwah haruslah dimulakan dengan asas dahulu, bukan perkara yang kompleks lagi, bukan terus menghukum itu dan ini kerana para mad’u itu baru terbuka dengan Islam bukan seorang yang tahu akan Islam. Cara ini digunakan oleh Allah dalam mengharamkan arak itu sendiri. Arak tidak diharamkan dalam sekali arahan kerana Allah tahu akan tahap keterimaan pada zaman itu yang sudah terbiasa dengan arak. Selain itu, dakwah perlulah secara perlahan-lahan agar hati mad’u boleh menerima. Jangan terlalu tergopoh gapah dalam berdakwah, ingin melihat hasil dakwah menjadi dengan sekali sahaja. Tergopoh gapah atau ingin cepat ini harus dijauhkan dan disingkirkan kerana inilah menjadi satu faktor kegagalan dakwah itu sendiri.

Orang yang berada di jalan Islam adalah orang yang berada di jalan yang benar. Maka ingatlah Luqman al-Hakim,” Orang-orang yang sentiasa menyediakan dirinya untuk menerima nasihat, maka dirinya akan mendapat penjagaan dari Allah s.w.t. Orang yang insaf dan sedar setelah menerima nasihat orang lain, dia akan sentiasa menerima kemuliaan dari Allah juga”

Akhir sekali, ingatlah bahawa Allah dan Islam tidak sesekali berhajat kepada kita, kerana Allah boleh menggantikan orang yang lebih baik untuk menggerakkan Islam jika Dia mahu, sebaliknya kitalah yang berhajat kepada Allah kerana lemahnya kita semua. Maka mari sama-sama infaqkan diri kepada Islam dan moga semua amalan kita semua di terima oleh Allah.

Janganlah engkau langsung menelan sahaja kerana manisnya barang dan janganlah langsung memuntahkan saja kerana pahitnya sesuatu barang itu,kerana manis belum tentu menimbulkan kesegaran(kebaikan) dan pahit itu belum tentu menimbulkan kesengsaraan.

*tulisan ini adalah tulisan yang telah diterbitkan dalam buku IRIS, Majalah GEN11US Kasr Al-ainy. Copy paste dan maaf panjang sangat kerana tujuan tulisan ini ditulis untuk thaqafah islamiyah, maka penerangan yang panjang amatlah perlu untuk memahami thaqafah. 
*maaf dah lama tidak update blog dan post pon copy paste =p

Tuesday, October 16, 2012

Apa erti hidupmu?

Bismillah dan alhamdulillah. Allah masih memberi kita semua pelbagai nikmat-nikmat yang tidak terhitung tanpa sedikit bayaran pon. Andai dikenakan bayaran alangkah sulitnya diri untuk membayar bahkan tidak terbayar kerana banyaknya dan telitinya nikmat yang Allah berikan kepada kita.

Post kali ini hanya sebenarnya ditulis dengan rambang tanpa idea yang bernas untuk di kongsikan bersama. Cuma tangan terasa menulis sesuatu. Dan post ini ditujukan diri ini yang semakin hari semakin goyah mencari erti hidup.

Apa itu hidup? Apa erti hidup? Hidup oh hidup.

Ramai sekali yang mencari erti hidup namun jumpakah ia? Jumpakah erti yang sebenar?

Allah memberitahu kita dalam al-quran, bahawa tujuan kita dihidupkan adalah untuk menjadi khalifah Allah di muka bumi ini. Tetapi menjadi khalifah mereka sangka senang sekali. Merasa berkuasa? Dengan kuasalah manusia kadang-kadang alpa apakah tujuan mereka dijadikan. Menjadi khalifah kepada diri pun kadang-kadang culas inikan mentadbir bumi. Payahkan?



Selain itu, kita juga dijadikan untuk beribadat kepada Allah. Tetapi berapa ramai manusia sekarang taat dan patuh pada Allah? Berapa ramai yang menjadi hamba kepada nafsu sedangkan kita ini hamba kepada Allah dan seharusnya kita patuh kepada-Nya bukan nafsu. Payahkan?

Tambahan, Allah menjadikan kita untuk menjadi dai'e. Mengajak ke arah jalan Allah. Tetapi berapa ramai yang berjaya mengajak manusia dan diri ke arah Allah? Berapa ramai yang takut untuk mengajak insan di sekeliling ke arah jalan Islam? Kadang-kadang diri sendiri pun tersasar jauh dari jalan yang sebenar. Payahkan?

Jadi khalifah payah, jadi abdi Allah payah, jadi dai'e payah. Jadi kenapa Allah jadikan kita untuk menggalas semua tanggungjawab itu? Kerana Allah tahu manusia mampu dan hebat kerana kitalah sebaik-baik kejadian.

Jadi jangan mengeluhlah jika itu dan ini payah. Jangan berasa down. Jangan berasa diri keseorangan. Jangan berasa semua ini tidak adil untuk diri. Jangan berasa hidup ini untuk merintih akan diri yang malang. Jangan. Jangan. Tetapi jangan sesekali mengalah untuk hadapi semua halangan yang datang kerana kita semua insan yang HEBAT.

Bagaimana mahu mencari erti hidup jika tidak melalui kepayahan dan cabaran kerana dengan itulah kita boleh "define" sendiri apa erti hidup kita dan seterusnya menunaikan tujuan kita dihidupkan.

Maka carilah erti kehidupan dengan melaksanakan tujuan kita dihidupkan. Bukankah semua perkara yang digunakan mengikut tujuan diciptakan, kita akan berasa perkara itu amat berguna?


Erti hidup itu wujud dalam tujuan kita diciptakan. Kembalilah ke tujuan asal kita dan teruslah mencari erti hidup yang sebenar.

Pandanglah kehidupan ini dengan warna warni yang indah kerana hidupnya kehidupan. Bukanlah kehidupan itu hanya mati dengan hitam dan putih sahaja tetapi dihiasi dengan warna-warna yang indah.

Ikhlas dariku,
PipitJalanan.
 

Wednesday, September 26, 2012

Matangkah dalam menilai?

Bismillah dan alhamdulillah. Syukur pada Allah masih dapat meneruskan kehidupan dalam dengan menikmati nikmat Islam dan iman. Moga-moga kita semua tergolong dalam golongan yang diberkati serta dirahmati oleh Allah.

Mungkin tajuk ini, lari sedikit dari bidang yang aku pernah tulis, tetapi terpanggil untuk menulis juga dalam perkara ini kerana sudah nampak kempincangan serta adab dalam masyarakat sekarang ini.

Adakah perkara yang terlibat dengan pihak lawan/pembangkang/kumpulan lain/parti lain adalah semua buruk sekali?

Semua idea, cadangan dan pertolongan dari pihak lawan/pembangkang/kumpulan lain di tolak kerana semata-mata mereka adalah pihak lawan walau yang perkara yang diutarakan itu bawa manfaat. Semua yang tidak sebulu dengan kita, semua buruk, semua ditolak. Bahkan jika ada individu yang terlibat dengan pihak lawan semuanya keji, walaupun sudah terbukti jasanya dalam sesuatu perkara.

Jika tidak setuju pun, pelbagai cara ada untuk dizahirkan, bukan menghina dan mencaci serta memfitnah dan  terus menyalahkan tanpa mendengar dahulu jawapan dari pihak lawan


Bukankah kewujudan pihak lawan banyak membantu suatu organisasi menjadi lebih terkehadapan melalui kritikan dari mereka. Bukan semua perkara yang ada lawannya adalah negatif.

Orang memperolehi kejayaan dengan gembira dan mudah setelah mengetahui apa yang membuatkan dia gagal dahulu. Kegagalan itu menjadi jambatan bukan halangan untuk melintas sungai yang besar.




Jika pempimpin atau orang dari pihak yang disokong, semua mulia, semua baik, pijak semut tidak mati. Sikap double standard apakah ini? Adakah kemulian dan kehormatan itu di zaman kini di hitung melalui dia itu dari pihak mana bukan kerana jasa dan adab serta sumbangan seseorang itu?

Bahkan dalam satu organisasi juga wujud satu dua yang tidak akan setuju dengan keputusan orang atasan organisasi? Adakah itu jijik dan keji? Melalui ini, suatu keputusan ditimbang rasionalnya.

Kenapa semua perkara kena sama atas dasar sama pihak dan kenapa semua perkara kena berbeza atas dasar berlainan pihak?


Lahirkan politik sihat serta matang dalam pelbagai organisasi dan paling menonjol sekali dalam politik negara. Bukan kerana kuasa tapi kerana tanggungjawab dalam membangunkan ummah serta meneruskan perjuangan ke arah kebenaran.

Untuk berada di satu organisasi/parti adalah suatu perjuangan cuma sikap "kaki angguk" perlu dijauhkan dan dibuang dan ambil lah mana yang baik dari mana-mana pun dan buanglah mana yang buruk dari mana-mana pun.

Kerana perkara yang benar tetap benar sekalipun seseorang itu berada di pihak lawan dan perkara yang salah tetap salah sekalipun seseorang itu berada di pihak yang disokong.

Ikhlas dariku,
PipitJalanan

Monday, September 17, 2012

Terdesakkah mereka?

Bismillah dan Alhamdulillah dapat kembali menulis di ruang waktu yang kosong ini. Sudah tidak lama berkunjung di "New Post". Moga-moga dengan terbitnya post yang baru ini, aku akan terus istiqamah dalam mengisi blog NotaJalanan ini dengan sebaiknya.

Dunia kini dikejutkan oleh perbuatan musuh Islam yang amat dengki terhadap Islam. Ya, walau isu ini sudah, 2-3 minggu yang lepas tapi ini bukanlah isu yang remeh. Dan ini bukanlah kes yang pertama, sudah banyak lagi cubaan menghina nabi, bahkan ada yang berjaya komersial penghinaan mereka terhadap Nabi kita yang Mulia.

Perasaan sedih melihat trailer cerita yang dibuat oleh rakyat Amerika-Israel tentang Nabi. Begitu hina sekali mereka menghina nabi kita. Tidak tahu mana satu rujukan yang mereka ambil. Sedangkan banyak buku-buku rujukan di luar sana boleh dijadikan rujukan.

Tidak sampai seminit aku melihat, Tutup.Tak sanggup. Marah.

Begitu "desperate"nya orang-orang kafir menghina nabi kita dan Islam. Terdesak sungguh membuktikan bahawa Muhammad dan Islam itu sesat. Terdesak. Terdesak.

Islam tidak perlu pun pelbagai teknik/cara/kaedah/m
ethod untuk membuktikan bahawa agama lain itu sesat kerana kesesatan mereka adalah kesesatan yang nyata.

Tetapi tidak pernah pula kita menghalang agama-agama lain mempratikkan ritual agama mereka. Kenapa agama lain begitu dengki dengan Islam. Adakah kita pernah menghina pemimpin mereka? Bahkan kita menghormati pegangan mereka walaupun dari segi hakikat mereka adalah hina kerana kufur pada Allah.

Terdesak sungguh musuh-musuh Islam ini. Tetapi kita sebagai umat Islam bagaimanakah menentang penghinaan ini? Membunuh rakyat USA? Mengebom kedutaan AS? Tepuk dada tanya iman masing-masing apakah caranya. Sedangkan berperang ada peraturan yang ketat dalam Islam.

Di kedai pizza di Cairo,

Orang kedai : Kat malaysia x buat tunjuk perasaan ke psl orang hina nabi?

Aku : eh ada......

Orang kedai : xde pun.. xde dgr apa pun kat malaysia.

Aku : ada... esok.(Jummat 14.9.2012)


 
 Tunjuk perasaan satu method untuk luahkan perasaan marah terhadap orang yang menghina nabi tetapi biarlah dalam batasnya. Ada orang berkata, isu ini membuatkan kita lupa terhadap isu palestin dan syria. 

Tidak.Tidak. Bahkan isu inilah yang menaikkan semangat umat Islam untuk membebaskan palestin dari tangan zionis yang desperate membuktikan Nabi Muhammad itu palsu dan agama merekalah yang betul, kononnya.

Bangkitlah umat islam sekalian.

Ikhlas dari aku,
PipitJalanan

Thursday, August 16, 2012

Gagal Satu Kesalahan?

Bismilillah dan Alhamdulillah, Kita masih dipanjangkan umur ke sampai ke penghujung ramadhan. Insya allah kita semua akan meneruskan ramadhan kali ini dengan penuh jaya dan berjaya hingga ke akhir ramadhan. Mungkin semua sedih meninggalkan madrasah yang tercinta ini, oleh itu marilah kita tingkatkan amalan kita berlipat kali ganda. 

Walau ramadhan bulan rahmat namun jangan leka kerana satu amaran yang jelas nabi sebutkan tentang orang yang berada di bulan ramdhan. Ringkasanya;

“Sesungguhnya Jibrail (as) telah membisikkan (doa) kepadaku, katanya: Celakalah orang yang mendapati bulan Ramadhan tetapi dosanya tidak juga diampuni. Lalu aku pun mengaminkan doa tersebut...."
(Hadis riwayat Bazzar dalam Majma’uz Zawaid 10/1675-166, Hakim 4/153 disahihkannya dan disetujui oleh Imam Adz-Dzahabi dari Ka’ab bin Ujrah, diriwayatkan juga oleh Imam Bukhari dalam Adabul Mufrad no. 644 (Shahih Al-Adabul Mufrad No.500 dari Jabir bin Abdillah)

Nauzubillah.

Bila sebut tentang kegagalan apa yang berada di fikiran kita? Adakah kegagalan itu satu kesalahan?*tiada kena mengena dengan hadis kegagalan dalam bulan ramadhan seperti hadis diatas, manusia tergolong dalam hadis diatas adalah manusia yang gagal untuk berubah dan menyambut keampunan Allah tanpa berusaha. Dalam kes hadis ini, gagal untuk merebut keampunan Allah itu memang satu kesalahan.

Ramai manusia yang terus menyatakan bahawa kegagalan itu satu kesalahan. Maka ramailah orang yang gagal di dunia ini bahkan semua manusia gagal kerana insan itu rapatnya dengan kesalahan.

Kenapa manusia yang gagal gagal untuk melihat apa yang Allah mahu untuk kita. Kegagalan itu bukanlah satu kesalahan yang besar sehingga kini ramai yang tidak mampu menerima kegagalan. Bahkan terus jatu dalam lubang kegagalan. 

Kegagalan itu adalah satu jalan kejayaan. Ingat untuk bangun kita perlu jatuh. Berjaya itu datang setelah adanya gagal. 

Jika mahu dilihat dari kaca mata hikmah, bukankah kegagalan itu yang membuka minda kita? Bukankah dengan kegagalan itu manusia jumpa pelbagai jalan menuju kejayaan? Bukankah dengan kegagalan itu, manusia akan lebih bersungguh dalam mencapai kejayaan melebihi orang yang biasa berjaya dengan mudah?

Bukankah pelajar yang selalu gagal dalam peperiksaan akan lebih tekun dan mulozomah dengan ilmu?
Na, cantik Allah bagi untuk orang yang gagal ini. Bukanlah bermakna berjaya itu tidak bagus cuma bagi yang gagal, look at a bright sight. 

Bukan waktu hemisfera bumi itu gelap, hemisfera yang lain akan turut gelap.

Kemanisan kejayaan itu lebih manis dari orang yang merasa kejayaan dengan mudah. 


Namun ramai orang masih menganggap kegagalan itu satu kesalahan. Bahkan yang si gagal dan rakan si gagal juga mengangap gagal itu salah.

Rasulullah berdakwah ke taif tapi penduduk sana tidak terima dakwah nabi. Bahkan akan lahir dari penduduk taif itu orang yang beriman seperti nabi jangkakan. Adakah nabi itu gagal dalam berdakwah? Nabi itu sentiasa positif kehadapan dan kita sebagai umatnya harus ikut teladannya.

Tetapi awas. Jangan menyangka semua kegagalan itu bukan dari kelemahan kita. Kegagalan itulah yang menjadi cermin untuk usaha kita.

Orang yang berjaya selepas gagal adalah orang yang berani mengambil risiko dan matang menempuhi kehidupan ini. Dengan gagal, manusia lebih lama dalam alam perjuangan dan itulah yang membuat dia lebih matang dari yang lain.

Apabila sudah cukup usahanya dan doanya namun masih gagal, ingatlah Allah sedang menguji kita.

Ikhlas dari aku,
PipitJalanan.